MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
KHUTBAH JUMAAT PADA
14 JUN 2002M / 3 RABIUL AKHIR
KHUTBAH JUMAAT PADA
14 JUN 2002M / 3 RABIUL AKHIR
CONTOH TAULADAN YANG BAIK
Mauduk khutbah saya kali ini ialah Qudwah Hasanah. Dalam istilah masa kini, ia boleh disamakan dengan kepimpinan melalui teladan. Seorang pemimpin Islam, tidak harus hanya bercakap mengenai keunggulan Islam, tetapi mesti mampu menunjukkannya dengan contoh-contoh dalam kehidupan hariannya.
Firman Allah:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat ?. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan”. (As-Shaf: 2-3) .
Dalam erti yang lebih meluas, qudwah hasanah menuntut seseorang, istimewa bagi yang mengambil tugas kepimpinan, agar menjadikan dirinya teladan kepada melaksanakan dalam kehidupan sehariannya seruan-seruan kebaikan yang dia laung-laungkan. Dia harus bertindak sebaik kebaikan yang dianjurkannya, bukan sebaliknya. Jika dia menyeru dibasmi korupsi, dia sendiri mesti bersih dari segala unsur korupsi. Jika dia menganjurkan peningkatan ilmu, dirinya mesti menjadi teladan sebagai seorang pencinta ilmu. Jika dia memanggil kepada kemuliaan akhlak, peribadinya sendiri adalah gambaran akhlak mulia.
Nabi Muhammad s.a.w. ialah contoh terbaik bagi qudwah hasanah. Apabila isterinya Aesha ditanya mengenai akhlak Nabi, beliau menjawab: “Akhlak Nabi ialah Al-Quran!”
Maksudnya, keperibadian Nabi, sifat dan sikap baginda, cara baginda berfikir dan bertindak, kehidupannya, semangat dan perjuangannya – semuanya berupa natijah yang tumbuh dari asuhan Al-Quran. Apa yang baginda lakukan adalah melaksanakan anjuran Al-Quran. Apa yang baginda tinggalkan adalah apa yang dilarang Al-Quran. Baginda menyampaikan Al-Quran, dan dirinya sendiri menghayati semangat dan isi Al-Quran. Nilai-nilai abadi yang tumbuh dalam dirinya adalah hasil asuhan Al-Quran. Jadilah baginda seolah-olah Al-Quran yang hidup. Itulah yang dimaksudkan Aesha bahawa akhlak Nabi Muhammad s.a.w. ialah Al-Quran.
Sebagai pemimpin, baginda berada di barisan hadapan dalam menegakkan kebenaran dan dalam menghadapi tentangan daripada perjuangannya. Baginda menolak tawaran kemewahan dan kesenangan hidup, dan bersedia menghadapi pelbagai risiko demi menegakkan kebenaran.
Meskipun seorang ummi (tidak tahu membaca dan menulis), Baginda amat meninggikan kedudukan ilmu. Di akhir Perang Badar, baginda menawarkan keampunan dan kebebasan kepada setiap tawanan perang yang sempurna mengajarkan bacatulis kepada 10 kanak-kanak di Madinah. Kata baginda,
Ertinya: “Kelebihan orang berilmu daripada orang abid (yang banyak ibadahnya), adalah seperti kelebihanku daripada orang yang paling rendah dari kamu.” (Riwayat Tirmidzi dari Abi Umamah).
Baginda juga paling unggul dalam memberi makna kepada prinsip persamaan dan persaudaraan. Status seorang hamba seperti Zaid bin Harithah, diangkat dengan mengistiharkannya sebagai kerabat Baginda, keturunan bangsawan Quraisy. Ketika sebahagian sahabat masih taksub kepada sentimen kebangsaan Arab, Baginda mengistiharkan Salman dari Farsi sebagai kerabatnya, dan sekaligus melunturkan sentimen sempit tersebut.
Qudwah hasanah juga berlaku dalam kepimpinan para Sahabat.
Sebagai Khalifah, Abu Bakar, yang telah menghabiskan hampir seluruh hartanya membantu perjuangan Islam, terus hidup sederhana, dan tidak punya istana.
Umar bin Khattab, yang dengan kehebatan kepimpinannya membolehkan Islam berkembang ke Syria, Iraq dan Mesir, terus dengan amalan hariannya yang sederhana baik dari pakaiannya ataupun makanannya. Ketika jazirah Arab dilanda kebuluran, Umar langsung tidak makan daging, minyak sapi, ikan atau makanan lazat, sambil tidak putus-putusa berdoa, “Ya, Allah! Jangan Engkau hancurkan umat Muhammad dengan dosa-dosaku.” Sifat sederhana itulah yang membolehkan beliau melihat dan merasakan sendiri masalah dan kesulitan rakyat, kemudian mengambil langkah-langkah memberikan bantuan yang diperlukan.
Ketika sedang solat dan didatangi peminta sedekah, Khalifah Ali bin Abu Talib, tanpa tangguh-tangguh lagi telah memberikan cincin perak yang dipakainya kepada peminta sedekah tersebut. Itulah cara memberikan makna secara unggul kepada erti kedermawanan dan kebajikan.
Demikianlah beberapa contoh qudwah hasanah, iaitu berbuat baik bagi menghidupkan unsur-unsur kebaikan yang dianjurkan, dan tidak bercanggah antara apa yang diperkatakan dengan yang dikerjakan. Dengan melaksanakan dalam bentuk amali apa yang diperkatakan, sesuatu nilai yang baik itu akan lebih mudah difaham. Dan kesannya akan lebih mendalam. Apa yang dikata, dikota. Yang samar (abstract) menjadi nyata (concrete). Inilah proses pembelajaran yang mudah, dan paling berhasil.
(Bersambung)
2 comments:
Ini adalah konsep yang paling penting difahami; Nabi Muhammad s.a.w HANYA mengajar al-Qur'an dan tidak lain dari al-Qur'an. Pemahaman beliau adalah tepat kearan Allah s.w.t sendiri yang memastikannya dengna memberikan beliau al Hikmah. Oleh itu setiap perkataan dan perbuatan beliau adalh tidak lari dari al-Qur'an; tidak menambah dan tidak mengurang. Oleh itu Sunnah adalah alQur'an bergerak dan bukan Kitab Lain yang terasing dari al Quran..
Terima kasih kerana menjelaskannya...
Post a Comment