Sunday, March 15, 2009

Kepimpinan Melalui Teladan - 2

(Downloaded from The Reader)


MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

KHUTBAH JUMAAT PADA

14 JUN 2002M / 3 RABIUL AKHIR


(sambungan)

Bukan semua orang mudah memaham sesuatu nilai yang unggul dan murni secara intelektual. Namun, tidak sukar bagi semua orang memaham makna sesuatu dengan cara melihat dan meniru sesuatu yang terang dan nyata. Faktor qudwah hasanah yang dipakai dan dihidupkan oleh para pemimpin Islam di peringkat awal itulah yang membolehkan semangat dan isi Al-Quran menjadi mudah difaham, dihayati, dan dikembangkan oleh generasi umat Islam yang mula-mula.


Sebaliknya, di suasana kepimpinan tidak menghidupkan qudwah hasanah, sering timbul percanggahan antara aspirasi dengan realiti. Yang hendak dicapai berlawanan dengan pencapaian sebenarnya. Suasana begini pasti mengelirukan orang ramai. Orang akan keliru tentang nilai apakah yang hendak dipegang? Kekeliruan ini menjadi hambatan kepada usaha-usaha menyemai dan menumbuhkan unsur-unsur kebaikan dalam kehidupan masyarakat. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Mengapakah kamu menyuruh orang mengerjakan kebajikan, sedang kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca Kitab. Tidakkah kamu mengerti?"


Bayangkan kesan-kesan negatif jika berlaku keadaan berikut:

Pemimpin yang gigih memajukan amalan demokrasi, enggan bersikap toleransi kepada pandangan-pandangan yang tidak sehala atau serasi dengan pandangannya.


Pemimpin yang menyeru berjimat-cermat dalam perbelanjaan agar mampu menabung untuk membangunkan ekonomi bangsa, menyampaikan perutusannya itu di sebuah majlis makan malam yang lumayan di sebuah hotel paling mahal.


Pemimpin yang diberi tanggungjawab membawa perpaduan di kalangan jemaah, mengamalkan kepimpinan yang menyebabkan wujud prasangka dan kecenderungan berkelompok-kelompok.


Ataupun, pemimpin yang mendorong rajin membaca, sedangkan diri mereka sendiri tidak membaca. Mereka menyatakan Islam sangat menggalakkan ilmu sains modern, sedangkan diri mereka sendiri tidak berusaha memahami bagaimana manusia boleh sampai ke bulan, bagaimana berlaku empat musim di setengah-setengah tempat di dunia, atau kurang peduli dengan kesan kejuruteraan baka dalam kehidupan umat.


Percanggahan begini pasti menambahkan kekeliruan. Nilai-nilai manakah yang benar, mesti diikut dan dihidupkan?


Sidang Jumaat rahimakumullah,

Kejahilan merupakan satu sebab mengapa qudwah hasanah tidak terjelma pada setengah-setengah kepimpinan. Oleh itu, sesiapa jua yang bersedia mengambil tugas kepimpinan harus memperlengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan. Satu daripada usaha yang boleh dibuat ialah dengan cara banyak membaca.


Bagaimanapun, mempunyai ilmu pengetahuan sahaja belumlah mencukupi. Nilai-nilai kebaikan daripada ilmu itu mestilah pula dapat diserapkan dan disebatikan dalam jiwa sehingga mampu melahirkan tindakan-tindakan yang baik secara spontan dan bersengaja, iaitu tanpa dipaksa-paksa dan tanpa mengira tempat, masa dan suasana.


Mudah-mudahan dengan kesedaran menjalani proses melatih dan membina akhlak seperti ini, dunia kepimpinan dalam masyarakat kita akan menjadi lebih kuat. Dan sesiapa jua yang mengambil tugas kepimpinan, baik di rumah, dalam masyarakat, dan seterusnya pada peringkat negara, akan berbuat sejajar dengan apa yang dianjurkan, iaitu kepada menghidupkan qudwah hasanah.


No comments: